25September2018

Media Singapura keliru prestasi kewangan Khazanah...

Sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd menyatakan laporan berita Singapura mengenai prestasi kewangannya bertajuk "Khazanah Feels The Heat Amid Push To Change Its Investment Strategy", dan kemudiannya dilaporkan oleh media dan media sosial lain adalah tidak tepat dan seterusnya memberikan gambaran mengelirukan tentang prestasi kewangan dana pelaburan nasional itu.

"Ini terutamanya disebabkan fokus terpilihnya kepada set petunjuk prestasi kewangan yang tidak lengkap dan terbatas," kata syarikat itu dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Seperti yang dilaporkan secara meluas, petunjuk pengukuran prestasi kewangan Khazanah adalah merujuk kepada jumlah pulangan yang mengambil kira pulangan direalisasikan dan tidak direalisasikan, serta, pengagihan pulangan menerusi dividen.

Laporan itu, antara lainnya, mendakwa, nilai bersih terlaras (NWA) Khazanah telah jatuh sejak 2014 daripada RM111 bilion kepada RM102 bilion.

Menjelas lebih lanjut, Khazanah berkata jumlah pulangannya merupakan pertumbuhan dalam nilai bersih portfolionya, iaitu NWA syarikat itu.

"Seperti yang dilaporkan sebelum ini, nilai NWA daripada portfolio berkembang 3.1 kali atau 207 peratus kepada RM102.1 bilion pada Disember 2016 daripada RM33.3 bilion pada Mei 2004, mencerminkan tempoh sejak permulaan penyusunan semula Khazanah dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Ini diterjemahkan kepada pulangan gabungan 9.3 peratus setahun bagi tempoh lebih 13 tahun, dan bukannya pulangan hanya satu peratus atau 2.6 peratus seperti yang dilaporkan oleh artikel-artikel tersebut.

"Selain itu, dana pemegang saham diaudit Khazanah meningkat kepada RM37.8 bilion, setakat 31 Dis, 2016, daripada RM13.2 bilion, pada 31 Dis, 2004, peningkatan RM24.6 bilion dalam tempoh tersebut," kata syarikat itu.

Dalam mengetengahkan beberapa aspek penting portfolio dan mandat sebagai sebuah dana pelaburan strategik, Khazanah berkata kadar jumlah pulangan seperti yang diwakili oleh pertumbuhan NWA adalah sejajar dengan penanda aras relevan, terutamanya, dengan FBM KLCI yang mencatatkan jumlah pulangan pemegang saham 9.4 peratus setahun semasa tempoh yang sama.

Khazanah juga mempunyai pelbagai mandat yang termasuk melabur bagi mencapai pertumbuhan dan pulangan komersial - di peringkat tempatan dan antarabangsa - di samping juga melaksanakan inisiatif pembangunan dan nasional. Ia termasuklah pembangunan koridor ekonomi serantau, pembaharuan sektor pendidikan dan penyusunan semula serta pemangkin bagi pelbagai sektor ekonomi dan syarikat nasional.

Pulangan daripada inisiatif ini adalah berbeza-beza daripada pulangan rendah malahan negatif bagi lebih banyak aktiviti pembangunan hinggalah kepada pulangan tinggi bagi operasi komersial dan antarabangsa kami, dengan purata pada 9.3 peratus pulangan NWA setahun.

"Memandangkan mandat Khazanah tidak melibatkan menerima sebarang suntikan modal biasa dan ia perlu melabur semula bagi pertumbuhan dan inisiatif nasional, sebahagian besar pulangannya disalurkan terutamanya bagi pelaburan semula dan bukannya dividen," kata Khazanah.

Menurut syarikat itu, keperluan bagi strategi pelaburan semula berimbang bagi pertumbuhan, pembangunan dan dividen dilaksanakan secara perundingan dan mendapat kelulusan lembaga pengarah dan kerajaan.

"Kami berharap perkara di atas dapat menjelaskan kesimpulan oleh artikel-artikel itu berkaitan dengan prestasi kewangan dan bukan kewangan Khazanah.

"Akhir sekali, berkaitan dengan penggantian kepimpinan Khazanah seperti yang dirujuk dalam artikel itu, kami ingin menegaskan bahawa Khazanah memiliki proses penggantian yang mantap dan teratur, diluluskan oleh lembaga pengarah dan sejajar dengan amalan institusi yang baik," kata syarikat itu.-30/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 464  tetamu dalam talian