18Disember2014

MB Selangor terdesak selesai isu air

krisisair513
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini mengatakan kerajaan negeri pimpinannya akan hantar surat tawaran kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan akan mengambil alih Syabas walaupun tidak mendapat surat daripada Kerajaan Pusat.

Hal ini bukan mengejutkan kerana Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui sudah menyatakan jika Khalid ingin sangat mengambil alih pengurusan bekalan air di Selangor teruskan sahaja berbincang dengan empat syarikat konsesi pembekal air berkenaan. Khalid tidak perlu tunggu surat daripada Kerajaan Pusat, hantar sahaja surat tawaran itu kepada syarikat berkenaan.

Tahun lepas Khalid sudah pun bersuara mahu mengambil alih Syabas (pada September 2012 semasa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat China dan beliau sudah pun beri lampu hijau). Sehingga sekarang Khalid masih mengulang kata-kata mahu buat itu dan ini, tapi tidak pun dilakukannya.

Hakikatnya, pihak yang patut membuat keputusan sama ada mahu menjual atau tidak adalah pemegang saham empat syarikat tersebut termasuklah Kerajaan Selangor yang punya pegangan dalam tiga iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash), Konsortium Abass Sdn. Bhd. (Abass) dan Konsortium Air Selangor Sdn. Bhd. (KASB) daripada empat syarikat tersebut. Biarlah pengurusan syarikat berkenaan yang tentukan.

Kini, nampak sangat Khalid semakin gagal dalam usaha penstrukturan semula air Selangor yang dirancangnya sehingga seolah-olah mahu 'memaksa' Kerajaan Pusat menyalah gunakan saham emasnya untuk 'pujuk' Syabas menerima tawaran beliau. Adakah tiga syarikat konsesi bekalan air yang lain itu telah bersetuju?

Memetik kenyataan Pengerusi Syabas Tan Sri Rozali Ismail Sabtu minggu lalu, kenapa Syabas dan Puncak Niaga yang jadi sasaran? Padahal Splash telah awal-awal tolak tawaran sebelum Puncak Niaga sempat menjawab.

Adakah Menteri Besar Selangor itu begitu yakin yang pemegang saham tiga syarikat konsesi tersebut akan menerima tawarannya? Perlu diingat bahawa Abass yang dimiliki 91% oleh Kerajaan Negeri Selangor pernah menolak tawaran kerajaan negeri itu.

Khalid seolah-olah mengugut akan bawa Kerajaan Pusat ke mahkamah sekiranya Syabas tidak terima tawaran kerana didakwa telah melanggar Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006. Dan saranannya untuk membawa ke majlis timbang tara semasa membentangkan Bajet 2013 pada Oktober tahun lalu masih belum dilaksanakan.

Jika diimbas kembali, Kerajaan Pusat telah banyak membantu Kerajaan PKR Selangor demi kepentingan penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam isu air yang gagal dilaksanakan oleh kerajaam Khalid. Bayangkan RM606 juta projek mitigasi dan RM120 juta untuk penambahbaikan infrastruktur air Selangor dibiayai oleh Kerajaan Pusat.

Duit rakyat yang terpaksa digunakan untuk menambahkan kapasiti air walaupun perancangan jangka pendek kerana Kerajaan Selangor masih menggunakan isu Langat 2 sebagai syarat tawaran untuk melakukan penstrukturan semula air yang masih gagal dilaksanakan. Perancangan jangka pendek ini hanya mampu membekalkan air sehingga tahun 2016.

Khalid sehingga kini asyik taksub dengan penstrukturan semula air negeri tetapi tidak pernah sekali pun dibentangkan bagaimana penstrukturan itu boleh meningkatkan kapasiti bekalan air.

Daripada Oktober lalu beliau bercakap akan guna teknologi membran tetapi sampai sekarang teknologi membran masih belum dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap untuk Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa kok pernah mengeluarkan kenyataan Selangor telah mencatat pelaburan RM10.52 bilion dari 211 projek perkilangan yang diluluskan antara Januari dan Oktober tahun lalu.

Menurut Teresa, berasaskan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), 211 projek itu merangkumi 36 peratus daripada keseluruhan 650 projek pelaburan yang diluluskan di seluruh negara dalam tempoh 10 bulan yang sama.

Masalah utama kini, infrastruktur air di Selangor masih di tahap lama, adakah akan ada cukup air untuk memenuhi permintaan daripada semua pelaburan ini apabila semuanya mula beroperasi?

Daripada jumlah RM10.52 bilion itu, RM6.53 bilion atau 62 peratus merupakan pelaburan domestik dan selebihnya (RM3.99 bilion) pelaburan asing.

Ini bermakna pelabur asing juga akan terjejas terutamanya dari China yang mencatatkan nilai pelaburan terbesar melalui sembilan projek, Singapura (16 projek) dan Jerman dengan sembilan projek.

Macam mana pula dengan 450 projek perumahan yang sehingga kini belum mendapat kelulusan bekalan ekonomi? Apakah kos ekonomi kepada negeri dan juga negara jika isu bekalan air ini berterusan?

Perlu diingat, 131 daripada 211 projek itu merupakan projek baharu dengan nilai pelaburan besar RM7.48 bilion, baki 80 lagi untuk penambahan dan tujuan lain dengan nilai RM3.04 bilion.

Bagaimana pula kesannya terhadap sektor pembuatan komponen automobil mencatatkan pelaburan tertinggi dengan 34 projek, sektor elektronik serta elektrik dengan 19 projek dan juga sektor produk makanan dengan 17 projek?-17/2/2013 -Utusan

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 623  tetamu dalam talian