26September2018

Manifesto Pakatan tolak agenda Islam...?

Sejak mula ucapan alu-aluan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Abdullah, di majlis Pelancaran Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam Khamis malam telah timbul satu keraguan besar di dalam fikiran saya mengenai kandungan Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan (PH) ini yang berhubung dengan agenda Islam.

Kerana kenyataan Saifuddin bahawa G25 adalah salah satu daripada lima badan luar yang dirujuk oleh PH di dalam penyediaan Manifesto PRU 14 PH ini.

Seperti yang kita semua ketahui, G25 adalah satu badan yang dianggotai oleh beberapa bekas penjawat awam kerajaan yang cukup bermasalah dengan idea utama di dalam “Surat terbuka kepada rakyat Malaysia” yang ditulis olehnya pada 7 Disember 2014 adalah menilai kembali Undang-undang Jenayah Syariah di Malaysia yang mengkanunkan pelbagai “dosa peribadi” sebagai jenayah kerana ia didakwa bercanggah dengan prinsip perundangan Islam dan melanggar kebebasan asasi manusia serta menceroboh kehidupan peribadi rakyat.

Pelbagai kenyataan kontroversi lain G25 mendapat kritikan hebat tokoh-tokoh agama seperti Mufti-mufti, termasuk Mufti Perak, Harussani Zakaria, dan Mufti Kedah, Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad, yang telah dilaporkan pada 8 dan 9 Disember 2015 sebagai mendesak G25 segera bertaubat dan G25 dimansuhkan.

Begitu juga dengan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Abdullah Mat Zin, yang telah dilaporkan pada 11 Disember 2015 sebagai berkata G25 boleh difatwakan sebagai kumpulan ajaran sesat.

Buku terbitan G25, bertajuk “Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy”, yang di antara lainnya mengandungi saranan-saranan supaya kewujudan sistem politik sekular diperjuangkan, supaya peranan Islam di dalam pentadbiran kerajaan dikurangkan, dan supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk keluar dari Islam (murtad), malah telah diwartakan pengharamannya melalui “Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 12) 2017” pada 27 Julai 2017.

Termasuk di dalam agenda G25, yang juga menjadi agenda DAP, ini ialah penghapusan institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti yang tertera di dalam kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera, iaitu Zairil Khir Johari, pada 27 Jun 2015 dan kenyataan ahli G25, Tawfik Tun Dr Ismail, pada 9 November 2015 yang dikongsi oleh Penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, di dalam Facebook dan blog beliau serta turut didukung oleh Jurucakap G25, Noor Farida Ariffin.

Pada 6 Februari lalu, saya sendiri telah mempersoalkan komitmen PH untuk mendaulatkan Islam di Malaysia kerana kegagalan Pengerusinya, Tun Mahathir Mohamad, mempertahankan Jakim di dalam Sidang Media Majlis Presiden PH hari itu kerana, bila ditanya oleh wartawan mengenai pendirian PH terhadap Jakim, beliau hanya menyebut: “Itu (sama ada Jakim itu diperlukan lagi) terpulang kepada kita kalau kita jadi kerajaanlah, nothing is permanent (tiada yang kekal)”.

Kini, setelah meneliti kandungan Manifesto PRU 14 PH ini, maka terbuktilah keraguan saya mengenai komitmen PH untuk mendaulatkan Islam di Malaysia sangat berasas kerana, tidak seperti Manifesto PRU 13 Pakatan Rakyat yang umpamanya mengandungi jaminan bahawa “pengurusan institusi Islam dikuatkan dengan peruntukan yang lebih tinggi”, Manifesto PRU 14 PH ini tidak mengandungi sebarang jaminan begini, malah memperlihatkan bahawa PH mendukung agenda G25.

Disebutkan secara spesifik di dalam Manifesto PRU 14 PH ini bahawa “Kuasa Raja-raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke negeri-negeri dan campur tangan Kerajaan Pusat akan dihentikan”, iaitu satu naratif G25, dan DAP, untuk mewajarkan penghapusan institusi Islam di peringkat Pusat di atas alasan kononnya ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sedangkan pelbagai ilmuwan, baik di bidang politik, undang-undang atau agama, telah menghujahkan di sebaliknya.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Mat Zin, melalui tulisan beliau bertajuk “Pluralisme, liberal ancam institusi Islam” di dalam akhbar Berita Harian hari ini umpamanya telah menyebut betapa idea penghapusan institusi Islam seperti Jakim.

Ini adalah antara idea kontroversi golongan liberal menyerang agensi agama Islam sekali gus menolak apa sahaja usaha untuk mendaulatkan Islam sedangkan “Jakim “ditubuhkan secara berperlembagaan, menepati Perkara 3, Perkara 12(2), Perkara 121(1A) dan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan”.

Turut disebutkan secara spesifik di dalam Manifesto PRU 14 PH ini adalah janjinya dalam isu hak asasi, iaitu bahawa PH “akan memperbaiki dan melaksanakan sepenuhnya.

Pelan Hak Asasi Manusia Kebangsaan”, “matlamat kita ialah agar kedudukan Malaysia dalam Universal Periodic Review menjadi lebih baik dan peningkatan prestasi kita selaras dengan perkembangan dunia” dan “konvensyen-konvensyen antarabangsa yang sesuai tetapi belum diratifikasi akan diratifikasikan seberapa segera, termasuklah the International Covenant on Civil and Political Rights 1966 (ICCPR)”.

Perjuangan hak asasi ini juga adalah agenda utama G25, dan DAP, dan boleh dibayangkan jika janji PH untuk meratifikasikan seberapa segera konvensyen-konvensyen antarabangsa yang belum diratifikasi ini dilaksanakan apa yang akan berlaku kepada Malaysia.

Sudah tentulah pelbagai Undang-undang Jenayah Syariah tidak lagi boleh dikuatkuasakan, sudah tentulah insiden umat Islam keluar dari Islam (murtad) akan berleluasa, begitu juga dengan golongan seperti ateisdan LGBT yang akan turut berleluasa. Semoga Allah selamatkan umat Islam di Malaysia dari ancaman golongan liberal.-10/3/2018

Penulis merupakan Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM)

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 403  tetamu dalam talian