20Jun2018

Manifesto Pakatan Harapan lompang

Melihat kepada manifesto yang telah diumumkan oleh Pakatan Harapan, ia tidak ubah seperti menanam tebu di tepi bibir. Janji-jani yang mereka taburkan sangat manis tapi sukar untuk direalisasikan.

Apa yang dapat saya lihat, manifesto Pakatan Harapan hanya sekadar mahu memancing undi rakyat dalam PRU14 akan datang. Semata-mata kerana mereka terlalu taksub dengan kuasa dan dalam masa yang sama mereka ingin merampas kerajaan yang sedia ada.

Lihat sahaja, manifesto yang dikemukakan mereka sangat tidak realistik dan tidak logik untuk dilaksanakan dalam tempoh masa yang singkat. Setiap perancangan dalam manifesto Pakatan Harapan menimbulkan banyak tanda tanya dalam fikiran saya. Malah saya lihat, masih terdapat banyak kelompangan dalam setiap perancangan yang Pakatan Harapan rangkakan.

Hakikat dan kebenaran yang perlu rakyat faham mengenai manifesto Pakatan Harapan adalah :

Pertama, sukar untuk Pakatan Harapan ingin menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Sedar atau tidak, GST adalah sistem yang telus dan cekap berbanding SST. Walaupun, SST hanya dikenakan kepada pengeluar tetapi cukai SST yang dikenakan meliputi cukai jualan 5%, 10% dan kadar spesifik serta cukai perkhidmatan 6%.

Berbanding dengan GST pengguna hanya perlu bayar cukai dengan satu kadar iaitu 6%. Lebih penting lagi ia bukan tambahan kepada cukai yang sedia ada.

Jadi apabila Pakatan Harapan ingin menghapuskan GST ini bermakna mereka ingin meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat, bukannya ingin meringankan beban rakyat.

Kedua, seterusnya cadangan yang tidak masuk akal dari Pakatan Harapan adalah ingin menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan. Jika diteliti cadangan ini sebenarnya menggalakkan generasi muda berhutang pada usia muda.

Sedangkan kita dapat lihat, gaji graduan baharu hanya RM1500 hingga RM1800 sebulan dan untuk mencapai ke tahap gaji RM4000 ke atas ia memakan masa bertahun-tahun. Jadi persoalannya pada umur berapakah peminjam PTPTN dapat memulakan pembayaran balik pinjaman mereka?

Ketiga, Pakatan Harapan juga ingin mengkaji semula projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing. Andai mereka dapat mentadbir negara mungkinkah segala projek mega di negara ini terkubur begitu sahaja? Tidakkah berlaku pembaziran yang banyak jika mereka menghentikan serta merta projek-projek tersebut?

Keempat, dalam tempoh 5 tahun juga, Pakatan Harapan berjanji untuk memberikan pendidikan percuma untuk IPTA. Cadangan pendidikan percuma untuk IPTA yang diumumkan Pakatan Harapan sangat tidak jelas. Malah pada masa kini konsep tersebut tidak relevan dan kelihatan hanya retorik semata-mata.

Jika benar inginkan pendidikan percuma untuk IPTA, ini bermakna kerajaan akan menanggung segala kos perbelanjaan IPTA. Persoalannya dana atau pendapatan dari manakah Pakatan Harapan ingin gunakan jika GST yang menjana pendapatan negara pun mereka mansuhkan?

Melihat kepada janji-jani kosong yang ditaburkan kepada rakyat, saya dapat simpulkan bahawa Pakatan Harapan hanya sekadar memberikan harapan palsu kepada rakyat. Dan saya yakin Pakatan tidak dapat melaksanakan 10 janji mereka dalam tempoh yang singkat.

Nasihat saya, rakyat perlu memperhalusi dan teliti sedalam-dalamnya manifesto ini sebelum rakyat hadam setiap satu darinya. Hal ini kerana PRU14 bukan pentas perjudian yang boleh kita buat main-main. Apa yang pasti, rakyat juga perlu berfikir semula sama ada mereka bersedia atau tidak untuk menyerahkan pentadbiran kerajaan kepada Pakatan Harapan.-13/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 473  tetamu dalam talian