13Disember2018

Lucut hak Palestin: UMNO kecam keputusan Parlimen Israel

UMNO sependirian dengan  negara-negara lain dalam mengecam sekeras-kerasnya keputusan Parlimen Israel meluluskan rang undang-undang Tanah Yahudi semalam, yang melucutkan sama sekali hak rakyat Palestin ke atas wilayah nenek moyang mereka.

Dasar ala aparthied ini juga menghapuskan peruntukan Perlembagaan yang mengiktiraf Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi negara itu serta Palestin.

Ia turut mengiktiraf Baitulmuqaddis atau Jerusalem sebagai ibu negara baru Israel, yang memadamkan sebarang bantahan umat Islam dan Pertubuhan Bangsa--Bangsa Bersatu terhadap isu itu.

Tindakan keterlaluan rejim Yahudi ini sama sekali bertentangan dengan Perisytiharan Balfour 1926 yang cuma menyebut Yahudi berkongsi bumi Palestin sebagai 'tempat tinggal bersama'.

Biarpun ahli Knesset berbangsa Arab menentang akta itu, mereka terpaksa akur dengan kuasa majoriti Ahli Parlimen Yahudi yang semuanya mengundi menyokong rang undang-undang itu.

Ia dikhuatiri akan mencetuskan bantahan serta keganasan yang lebih hebat di Palestin. Ini sudah pasti digunakan oleh pasukan keselamatan Israel  sebagai satu 'lesen' untuk terus membunuh orang Palestin yang menentang mereka.

Dengan itu, UMNO menggesa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan agar mengutuk perbuatan tidak bertamadun ini, serta mendesak Kerajaan Amerika, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Persidangan Islam, PBB dan badan-badan dunia yang berteraskan keamanan sejagat, agar mendesak Tel Aviv mengkaji semula rang undang-undang itu dan menghormati pandangan masyarakat antarabangsa.

Ahli-ahli Parlimen  pembangkang juga bersama-sama mendesak Wisma Putra agar meneruskan dasar Kerajaan Malaysia yang menentang sebarang bentuk tindakan yang menafikan hak asasi rakyat Palestin untuk terus menuntut hak sah sebagai negara yang berdaulat dan menegakkan pemerintahan sendiri serta menolak sebarang tindakan yang mencabul hak asasi manusia.-21/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 493  tetamu dalam talian