21Oktober2018

BN Sarawak keluar kerana tiada semangat berjuang

Akibat terlalu ‘dimanja’ dan ditatang bagaikan minyak penuh oleh UMNO selama ini, empat parti di Sarawak yang meninggalkan Barisan Nasional (BN) disebabkan hilang jiwa berjuang dan tiada semangat setiakawan.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Perseketuan, Datuk Razlan Rafii yang mengecam tindakan itu sambil menyifatkan keempat -empat parti itu sebagai ‘lupa diri’ dan tidak berterima kasih kepada UMNO yang membantu mereka berdepan krisis sokongan sebelum ini

“Dahulu, kalau kawan kita dalam ketandusan sokongan, UMNO lah menjadi sahabat baik membantu mereka.

“Hari ini, UMNO dan parti komponen di dalam kesusahan dan kita melihat, banyak komponen melarikan diri. Inilah sebenarnya dikatakan kacang melupakan kulit dan tiada kesetiaan kepada BN.

“Orang yang tiada jiwa akan melihat kepada harta benda dan kuasa. Mereka tidak layak digelar pejuang kepada rakyat,” katanya seperti yang dilaporkan MalaysiaGazette.

Beliau mengulas tindakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang mengumumkan keluar daripada BN, semalam.

Pengerusi BN Sarawak yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ketika mengumumkan perkara itu berkata, keempat-empat parti akan mewujudkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata, GPS akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan namun tidak akan menyertai Pakatan Harapan (PH) dan bergerak secara bebas dengan blok sendiri.

Razlan juga berkata, PRU-14 menunjukkan ‘belang’ sebenar empat parti komponen BN di Sarawak yang hilang rasa tanggungjawab dan kini menuju peperangan sebagai pembangkang.

“Ini lah masalah komponen, apabila UMNO selaku parti terbanyak, menjaga mereka ibarat menantang air yang penuh, manjakan mereka.

“Akhirnya layanan baik UMNO selama ini menyebabkan mereka tidak ada jiwa berjuang dan setiakawan,” katanya.

Kata Razlan lagi, sudah tiba masanya UMNO memberi tumpuan kepada menjadi parti tunggal orang Melayu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

“Kita dapatkan sokongan Melayu.. jadi parti tunggal pejuang Melayu…kembali kepada asas sebenar,” katanya lagi.-13/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 727  tetamu dalam talian