14Disember2018

Keselamatan Sabah yang diabaikan....

Sebagai bekas Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri, serta Pengerusi Jawatankuasa Pertahanan Kabinet Bayangan Barisan Nasional, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan penekanan dan penelitian mengenai pengurangan peruntukan bajet dalam menjaga keselamatan negeri Sabah.

Melalui pembentangan Belanjawan 2019, Kementerian Pertahanan telah diperuntukkan bajet yang rendah, dan terdapat penurunan yang begitu jelas oleh Kerajaan Pakatan Harapan seperti :-

- Pertama, bajet untuk Pertahanan Maritim telah dikurangkan sebanyak RM 583,930,800 berbanding tahun lepas. Pertahanan Maritim ini meliputi operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi meneruskan kerjasama pertahanan melalui aktiviti dua hala dan pelbagai hala, seperti Kerjasama Tiga Hala (MALINDOPHIL Trilateral Cooperative Arrangement - TCA) yang telah ditubuhkan bersama Kementerian Pertahanan Indonesia dan Kementerian Pertahanan Filipina sewaktu saya menerajui Kementerian Pertahanan Malaysia. Kerjasama Tiga Hala ini yang merangkumi rondaan udara dan maritim diadakan bagi menghadapi ancaman pengganas yang bersekutu dengan Islamic State, dan memastikan keselamatan Lautan Sulu terus terbela;

- Kedua, peruntukan untuk Pengoperasian di ESSZONE dikurangkan sebanyak RM 22,607,200 berbanding tahun lepas; dan

- Ketiga, tiada sebarang peruntukan untuk Pangkalan Hadapan di Labuan/Lahad Datu dan Sistem Pesawat untuk menjaga keselamatan perairan negeri Sabah.

Peruntukan yang berkurangan ini sudah pasti memberikan indikasi yang tidak baik terhadap usaha Kerajaan memelihara kepentingan pertahanan dan keselamatan di Sabah. Hal ini dirunsingkan lagi dengan laporan yang telah dikeluarkan oleh Marine Link pada 30hb Oktober berserta maklumat yang diterima oleh Information Sharing Center of Regional Cooperation Agreement on Combating Piracy and Armed Robbery against Ships in Asia (RECAAP). ReCAAP telah menerima laporan dari agensi pertahanan maritim di Filipina bahawa 10 ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf, lengkap dengan senjata api seperti pistol, senapang dan pelancar bom tangan, mempunyai perancangan untuk menjalankan aktiviti penculikan di beberapa kawasan di Sabah. Laporan tersebut juga menekankan bahawa penculik menyasarkan ahli perniagaan dan krew kapal asing, dengan hanya menggunakan motor banca yang tidak bertanda yang dikenali sebagai ‘jungkong’ - bot laju yang direka untuk perairan cetek.

Lebih lagi pada 31hb Oktober, Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali juga telah mengesahkan bahawa beliau telah menerima laporan yang sama dari rakan sejawatnya di Filipina. Susulan dari itu, tahap kawalan keselamatan ESSCOM telah diletakkan pada paras tertinggi. Ia juga dilaporkan bahawa kesemua aset di lapangan dan pos kawalan bahagian hadapan telah digerakkan untuk meningkatkan rondaan di kawasan perairan.

Berdasarkan kesemua laporan dan berita yang kian menular berkaitan tahap keselamatan perairan negeri Sabah hanya beberapa hari sebelum pembentangan Belanjawan 2019 jelas menunjukkan bahawa keadaan yang kita sedang lalui amatlah membimbangkan. Lebih lagi apabila Kerajaan Persekutuan mengurangkan peruntukan untuk Kementerian Pertahanan walaupun jumlah peruntukan untuk Belanjawan 2019 lebih besar berbanding 2018. Jelas sekali keselamatan rakyat di negeri Sabah bukan lagi menjadi keutamaan bagi Kerajaan Persekutuan.

Tambahan lagi, hanya 2 hari lepas Ketua Polis Negara telah mengumumkan penangkapan 7 ahli kumpulan Abu Sayyaf yang terdiri daripada warganegara Filipina di Sabah. Mereka yang ditangkap terlibat dengan penculikan untuk tebusan (Kidnapping For Ransom) di Sabah dan juga selatan Filipina. Di antara mereka yang telah ditangkap adalah komander kepada kumpulan Abu Sayyaf yang juga orang kanan kepada Furuji Indama (pemimpin kanan kumpulan Abu Sayyaf), seorang lagi di tugaskan untuk merekrut kanak-kanak untuk menyertai kumpulan Abu Sayyaf dan dijadikan perisai manusia semasa bertempur dengan tentera Filipina di Basilan, selatan Filipina, dan seorang lagi mempunyai kepakaran membuat senjata api untuk kegunaan kumpulan tersebut. Pengganas ini menjalankan kehidupan seperti rakyat biasa di sebahagian kawasan dalam negara kita ini, khususnya di Sabah.

Dengan itu, kementerian harus memberikan perhatian dan tindakan yang serius, khususnya dalam memperhalusi gerak kerja bagi menangani ancaman dan masalah ini. Pertahanan dan keselamatan bukanlah hanya terhad kepada menjaga sempadan perairan atau sekadar menghalang kemasukan pengganas ke dalam negara kita tetapi ia juga meliputi pembentukan kerjasama yang strategik serta  membina hubungan yang rapat dengan agensi perisikan negara – negara jiran seperti Indonesia dan Filipina. Hubungan baik dengan agensi-agensi tersebut telah pun dimulakan sejak saya menerajui Kementerian Pertahanan.

Kenyataan Menteri Pertahanan, YB Mohammad Sabu bahawa tiada ancaman serius di Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE), perairan di Sabah selamat, dan jaminan bahawa keselamatan Sabah terkawal amatlah jauh dengan kebenaran. Janji-janji retorik Pakatan Harapan bercanggah dengan realiti. Sebaliknya, tumpuan terhadap isu keselamatan, khususnya di Sabah, tidak diberikan perhatian dan keutamaan. Jika perkara ini berterusan, ia sekaligus akan menjejaskan keupayaan pertahanan dan keselamatan negara, terutamanya melindungi keselamatan negeri Sabah.-21/11/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 714  tetamu dalam talian