16Disember2017

Kerajaan Persekutuan tidak berniat ambil hak Sabah

  
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berniat untuk mengambil apa-apa yang sememangnya menjadi hak negeri dan rakyat Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
 
"Kalau kita terambil, kalau terambil dahulu, kita kena pulangkan balik. Ini perjuangan kita. Bukan perjuangan Parti Bersatu Sabah (PBS) sahaja. Ini perjuangan kita bersama. Saya berkongsi sentimen anda," kata Najib semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS kali ke-32 di Penampang Sabtu.
 
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Presiden PBS yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan pemimpin-pemimpin parti-parti komponen BN.
 
Justeru, kata Najib, rakyat Sabah berhak untuk memperkatakan atau membicarakan berkaitan hak mereka dalam MA63 tanpa perlu takut-takut diambil tindakan.
 
"Nak sebut MA63 sebutlah. Saya tidak akan masukkan sesiapa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Datuk Seri Dr Maximus (pernah) berehat 60 hari di bawah ISA. Sebab 'orang itu' masukkan dia di bawah ISA...Apa yang saya mahu ialah kita berlaku adil," katanya.
 
Najib berkata semua pihak perlu memberi sedikit masa kepada kerajaan persekutuan untuk mengkaji intepretasi undang-undang berkaitan MA63 kerana pada masa ini terlalu banyak tafsiran mengenainya berdasarkan pihak yang mentafsirkannya.
 
Katanya kesediaan kerajaan BN untuk meneliti dan mendengar keluhan rakyat Sabah termasuk berkaitan pendatang asing tanpa izin dan MA63 membuktikan bahawa masa depan rakyat negara ini dan negeri Sabah di bawah BN adalah cerah.
 
"Kita dah nampak. Semalam kita umumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia ialah 6.2 peratus, antara tertinggi di dunia. Kita dah buat macam-macam. (Pembinaan) Lebuhraya Pan Borneo sedang berjalan rancak. Laluan 1 MRT di Kuala Lumpur sudah siap. Ini semua cerminan masa depan Malaysia.Kita akan jaga segala-galanya termasuk keselamatan orang Sabah," katanya.
 
Justeru, kata Najib, rakyat Sabah perlu yakin bahawa BN adalah pilihan terbaik mereka manakala parti-parti pembangkang kini dalam keadaan bercelaru termasuk sebuah parti yang tidak patuh kepada perlembagaannya sendiri.
 
"Bukan undang-undang kita. Undang-undang dia sendiri tak dapat ikut. Macam mana nak perintah negara," katanya.
 
Kata Najib, bagi Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinannya, beliau akan terus membangunkan Sabah dengan kerjasama pemimpin-pemimpin dari negeri Sabah yang disifatkannya sebagai pemimpin yang baik.
 
"Sabah akan terus berjaya. Kita ada pemimpin baik-baik di Sabah ini yang boleh bekerjasama dengan saya. Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa, PBS jadi rakan setia kita. Masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat kita selesaikan, masalah tanah adat dapat diselesaikan,"katanya.
 
Sebab itu, kata Najib, rakyat Sabah tidak boleh bergantung harap kepada parti pembangkang yang hanya pandai menjual janji kerana Sabah memerlukan kerajaan yang boleh menjamin masa depan rakyat yang cemerlang.
 
Ketika beliau bertanyakan perwakilan mengenai kesiapsiagaan mereka menghadapi pilihan raya umum, respons yang diperoleh adalah mereka sudah bersedia.
 
Kalau anda yakin, saya pun yakin pilihan raya sudah boleh diadakan, katanya.- 18/11/2017
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1084  tetamu dalam talian