14November2018

Kerajaan BN adalah kerajaan untuk orang muda - Najib

Kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini adalah kerajaan yang memberi perhatian terhadap orang muda dengan segala dasar dan perancangannya termasuk merangka Transformasi Nasional 2050 (TN50) agar ia sebati dengan jiwa golongan itu demi menjaga masa depan mereka, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang juga pengerusi BN berkata tanggungjawab sebagai pemimpin bukan hanya untuk bermain politik atau membuat dasar bersifat jangka panjang dan populis, sebaliknya merangka dasar yang dapat memenuhi impian orang muda.

"Kita mesti buat dasar-dasar yang berasaskan satu visi dan gagasan yang besar bagi mengisi impian, hasrat, cita-cita dan memberi harapan kepada orang muda. "Negara kita (jika) terus dipimpin oleh kerajaan BN, impian orang muda akan dapat kita penuhi," katanya semasa merasmikan majlis penutupan Hari Gerakan Belia 4B Malaysia di Kampung Ulu Chuchuh, di Sepang Ahad.

Najib berkata beliau melaksanakan dasar yang memberi kebebasan awam supaya masyarakat lebih terbuka untuk bersuara serta memberi ruang kepada kritikan.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat perlu bertanggungjawab dalam memberi kritikan yang berasaskan fakta dan tidak direka-reka seperti cerita fitnah 40,000 warga Bangladesh mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

"Kalau kita tipu takkan BN kalah di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Kita tak tipu, kita tubuh kerajaan atas undi yang kita terima daripada rakyat," katanya.

Pada majlis yang dihadiri lebih 10,000 belia dari seluruh negara itu, Perdana Menteri turut melancarkan jentera 'Belia 4B Sahabat BN' yang akan digerakkan pada PRU14 nanti.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar yang juga Pengerusi BN Selangor dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.- 11/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 412  tetamu dalam talian