17November2018

Kata kerajaan tak ada duit, kenapa membazir...?

Tindakan Danyal Balagopal, Ahli Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan meletak jawatan semata-mata untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) disifatkan sebagai pembaziran wang rakyat.

PRK itu tidak sepatutnya diadakan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergelut dengan masalah ekonomi sehingga menyebabkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi bayangan Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada 2 November nanti  berupa  `Bajet Perngorbanan'.

PRK Port Dickson juga bertentangan dengan isu yang sentiasa dibawa oleh Pakatan Harapan bahawa kedudukan kewangan negara dalam keadaan meruncing, sehinggakan Tabung Harapan diwujudkan kononnya bagi meringankan beban kerajaan dalam memperbaiki fiskal negara.

Wanita UMNO Malaysia menyifatkan PRK Port Dickson ini juga suatu bukti bahawa sistem pilihan raya yang sepatutnya menyuburkan elemen demokrasi di negara ini telah dimanipulasi oleh PKR semata-mata untuk memberi laluan kepada  Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat.

Jika sesuatu kerusi baik di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun di peringkat Parlimen terpaksa diadakan PRK berpunca kerana kematian atau wakil rakyat  disahkan kurang berupaya untuk menjalankan tanggungjawab, maka ia sesuatu yang boleh diterima.

Tetapi jika seseorang wakil rakyat itu mengundurkan diri semata-mata bagi memenuhi kehendak seorang ahli politik untuk menjadi Perdana Menteri, sudah pasti ia menimbulkan persepsi.

Pada masa sama, ia juga menunjukkan  bahawa begitu ketara kelemahan sistem pilihan raya kita hinggakan ia boleh dipermainkan sebegitu rupa.

Wanita UMNO juga kesal kerana ini bukan pertama kali perkara sedemikian terjadi kerana masih segar di ingatan kita semua bagaimana Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terpaksa mengosongkan kerusi Permatang Pauh pada 2008 untuk memberi laluan kepada suami tercinta serta bagaimana Lim Chin Cheh pada 2014 berundur dari kerusi DUN Kajang, juga untuk memenuhi kehendak individu yang sama.

Kami Wanita UMNO sekali lagi menegaskan PKR harus berhenti dari terus mempermainkan kepercayaan rakyat dan mereka harus berhenti memanipulasi sistem sedia ada semata-mata mengejar nafsu serakah politik seorang individu yang ingin menjadi Perdana Menteri.-13/9/2018

Penulis merupakan Ketua Wanita UMNO Malaysia merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 977  tetamu dalam talian