16Oktober2018

Jangan sekat pertandingan Presiden PKR - Zuraidah

KEMASKINI Gelanggang sudah disediakan, jika anak jantan sila masuk bertarung... mungkin itu mesej Wanita PKR yang menyambut baik hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan Presiden namun menegaskan supaya parti jangan menyekat pertandingan.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, dalam pada tawaran Anwar itu diterima dengan terbuka, parti juga harus bersiap-siaga menjulang prinsip demokrasi dalam menghirup udara segara Malaysia baru yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia.

“Wanita PKR menegaskan bahawa di samping menerima baik tawaran Anwar bagi bertanding jawatan Presiden, parti juga perlu menghormati perlembagaan parti dalam hal membuka ruang pertandingan mana-mana jawatan tanpa sebarang usaha sekatan.

“Kita perlu lakukan apa yang kita laungkan,” katanya dalam kenyataan.

Anwar yang memegang jawatan Ketua Umum PKR mengumumkan akan bertanding jawatan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu Ogos ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau masih belum membuat keputusan mengenai jawatan yang ingin ditandinginya pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bulan depan.

Timbalan Presiden PKR itu berkata beliau akan mengumumkan keputusan mengenainya kelak kerana keutamaannya kini adalah pada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung dan berakhir 16 Ogos.

"Saya akan memberikan keputusan kemudian. Pada ketika ini saya hanya mahu fokus pada persidangan Parlimen. (Sebagai menteri) Saya mempunyai kewajipan untuk menjawab semua soalan yang diberi kepada kami," katanya, di lobi Parlimen tadi.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua menyangkal dakwaan wujud kem Anwar dan Datuk Seri Azmin Ali menjelang pemilihan parti itu bulan depan.

Beliau turut menafikan keputusan Anwar bertanding jawatan presiden PKR akan menjejaskan laluan politik Azmin dalam parti itu.

Sebaliknya, beliau percaya gandingan Anwar dan Azmin mampu membawa parti berkenaan ke peringkat lebih tinggi kerana mereka bekerjasama sejak sekian lama.

“Apa perlunya Anwar lawan Azmin? Siapa tidak tahu Azmin adalah orang Anwar yang paling setia. Saya rasa lucu jika ada yang kata wujud kem Azmin dan kem Anwar.

“Di antara semua bekas pembantu politik Anwar, hanya Azmin yang kekal selepas 2 dekad. Apabila Anwar masuk (dipilih sebagai presiden), maka Anwar akan angkat Azmin ke dalam kemnya, siapa lagi yang Anwar percaya?” katanya dipetik dari portal berita FMT.

Menurut Tian Chua jika Azmin berjaya mempertahankan jawatan timbalan presiden, Anwar dan bekas menteri besar Selangor itu akan bekerjasama dengan erat.

“Saya yakin Anwar akan selesa Azmin menjadi timbalan parti dan secara tidak langsung, saya yakin pasangan ini akan bekerjasama dengan erat.”

Azmin dipilih sebagai timbalan presiden PKR pada 2010 dan berjaya mempertahankan jawatan itu dengan mengalahkan Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam pemilihan parti 2014.

Ahad lalu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail menggesa ahli parti tidak meminggirkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan mencadangkan timbalan perdana menteri itu diberikan peranan sebagai ketua umum.

Selain Azmin, katanya, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli juga layak diangkat sebagai timbalan presiden.

“Kedua-dua mempunyai kelebihan masing-masing, terutamannya Rafizi yang masih muda dan belum ‘lelah’ dan tidak dibebani jawatan besar dalam negara,” kata Azan yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Tian Chua berkata, ahli PKR tidak perlu bimbang dengan kedudukan Wan Azizah kerana beliau boleh bertanding jawatan lain dalam parti.

“Memang dari awal Wan Azizah menyatakan beliau menduduki kedudukan itu untuk menyokong Anwar Ibrahim, buat apa hendak lagakan suami isteri?” katanya sambil menambah jawatan ketua umum sama dengan presiden PKR.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan akan bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti bulan depan, selepas beliau berbincang dengan semua pucuk pimpinan PKR, termasuk Wan Azizah.

Anwar berkata, beliau didesak pimpinan PKR untuk menggalas jawatan presiden sejak 2007, tetapi gagal berbuat demikian kerana mendapat tekanan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

PKR dijangka mengadakan pemilihan mulai Ogos hingga September ini.-18/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 477  tetamu dalam talian