25September2018

Jaga parti sendiri, jangan sibuk dengan UMNO…-Tengku Adnan

Tun Mahathir Mohamad digesa menjaga parti sendiri dan tidak perlu sibuk dengan urusan UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kata sikap bekas Perdana Menteri yang menyalahkan UMNO adalah perkara biasa.

Namun beliau sepatutnya menyediakan laporan yang diminta Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengenai isu mesyuarat agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Tambah Tengku Adnan, Tun Mahathir juga tidak patut menyalahkan RoS yang didakwa berat sebelah berikutan kegagalan dirinya sendiri dalam menguruskan PPBM.

“Suruh dia jaga parti sendiri, RoS mesti ada sebab kenapa dia nak batalkan atau sebaliknya, kita ada undang-undang negara, ikutlah undang-undang negara…please follow the rules.

“You sendiri pun ada ahli parlimen yang bercakap tentang undang-undang dalam parlimen, kenapa tak nak ikut?,” soalnya ketika ditemui wartawan selepas satu majlis di Kepong, Ahad.

Kelmarin RoS mengeluarkan notis kepada PPBM supaya parti itu menyerahkan maklumat serta dokumen berkaitan, termasuk minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat.

RoS juga mahu meneliti penyata kewangan parti bagi melengkapkan siasatan berikutan aduan yang dikemukakan oleh anggota parti terbabit.

Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim, berkata sekiranya PPBM gagal menyerahkan maklumat dan dokumen yang diminta tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan iaitu mengeluarkan perintah pembubaran ke atas parti berkenaan.

Bagaimanapun Tun Mahathir mendakwa RoS berat sebelah kerana tidak boleh mendengar penjelasan tanpa mengemukakan laporan seperti yang dibuat kepada UMNO.- 11/3/2018- OLEH NUR ASLINDA NASIR

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 446  tetamu dalam talian