20September2018

"Harap Zambry dapat dikekalkan MB sepenggal lagi..."

Di sebalik ura-ura Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir akan dibawa ke Pusat selepas pilihanraya ini, wujud permintaan daripada akar umbi supaya ianya dikekalkan sepenggal lagi.

Majoriti bahagian UMNO di di Perak mahukan khidmat Dr.Zambry diteruskan kerana “kami tidak rela orang lain menerajui negeri ini.”

Spekulasi  mengenai perpindahannya timbul apabila beliau yang juga Pengerusi BN negeri itu selain akan mempertahankan DUN Pangkor  pada masa sama bertanding parlimen Lumut.

Jika ramalan beliau bertanding parlimen Lumut menjadi nyata maka peluang beliau dibawa ke pusat sebagai seorang menteri semakinlah jelas.

Sejak timbul isu beliau bertanding di dua kawasan—parlimen dan DUN—menjadi perbualan paling panas, pembangkang mengambil kesempatan dengan membuat dakwaan  bahawa “BN Perak ketandusan calon.”

Tetapi bagi dua tokoh penting di Perak—Ketua UMNO bahagian dan Ketua Pemuda UMNO negeri —mereka berharap Dr.Zambry  “dapat dikekalkan sebagai Menteri Besar sepenggal lagi.”

Lantas mereka merayu Perdana Menteri memberi pertimbangan dengan mengekalkan Dr.Zambry “kerana khidmatnya sangat-sangat diperlukan bagi membangunkan negeri Perak.”

Sekadar mengimbau rekod  lama Dr.Zambry sendiri  pernah ditanya wartawan mengenai isu sama namun beliau enggan mengesahkan berita perpindahannya ke Kuala Lumpur.

Tentu umum masih ingat ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Gerik tidak lama dulu, beliau meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kedudukan beliau untuk bertanding pada PRU ke-14 nanti.

Dalam konteks ini lah kenyataan terbaru dari UMNO bahagian Padang Rengas yang diketuai Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilihat sebagai satu usaha serius “menghalang” Dr.Zambry dari ditukar.

Pada 8 April lalu, akhbar-akhbar arus perdana  melaporkan Ketua bahagian berkenaan, (Nazri) menyatakan pendirian bahawa mereka `bulat' mahukan  Dr Zambry dikekalkan sebagai Menteri Besar Perak jika BN menang dalam pilihanraya kali ini.

Kata Nazri, yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, UMNO Padang Rengas tidak rela orang lain selain Dr Zambry menerajui kerajaan negeri Perak.

Justeru itu dan untuk itu juga katanya, UMNO Bahagian Padang Rengas akan memastikan kemenangan dua kerusi Dewan UndanganNegeri (DUN) di bawahParlimen Padang Rengas iaitu Chenderoh dan Lubuk Merbau untuk membentuk kerajaan negeri.

``Selepas PRU-14, maka pada petang hari pemilihan...kita mahu berkumandang diumumkan kerajaan yang akan ditubuh dan kemenangan itu adalah kepada BN.

 ``Ketika itu kita mahu Dr Zambry menjadi MenteriBesar, kita tidak mahu orang lain,” katanya dipetik media semasa berucap di Karnival Pelancongan dan Dewan Millenium Lubuk Merbau pada 7 April lalu.

Sementara itu Pergerakan Pemuda UMNO Perak juga pernah mencadangkan agar Dr Zambry  kekal sebagai Menteri Besar jika BN mengekalkan kemenangan di negeri ini.

Ketuanya Khairul Shahril Mohamed berkata, pergerakan itu memberi sokongan padu kepada Zambry untuk meneruskan agenda pembangunan di negeri itu selepas PRU-14.

``Kami mengharapkan tiada pertukaran atau perubahan yang berlaku membabitkan pucuk kepemimpinan negeri Perak.

``Ini kerana kami melihat Datuk Seri Zambry Abd Kadir telah melakukan banyak perkara yang baik kepada negeri Perak khususnya dalam konteks pembangunan dan juga penyelesaian masalah bagi pihak kerajaan BN sekarang," katanya.

Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai Datuk Sham Mat Sahat  berkata, Perak masih lagi memerlukan khidmat bakti dan kepemimpinan Dr Zambry yang telahpun terbukti membawa banyak perubahan sosial ekonomi rakyat  dan pembangunan di negeri Perak.

Katanya, walaupun setelah dua penggal diberi mandat menjadi Menteri Besar namun rakyat Perak masih inginkan supaya Dr Zambry meneruskan agenda perjuangan rakyat dengan membawa lebih banyak pembangunan di negeri ini.

 ``Hari ini berbanding seawal lantikannya sebagai Menteri Besar Perak, Dr Zambry  ternyata Perak mengharungi perubahan drastik dari sudut pembangunan social ekonomi rakyat dan pembangunan negeri.

``Di Bandaraya Ipoh sebagainya contohnya rakyat dapat melihat sendiri banyak bangunan besar dan moden dibina manakala pelbagai kemudahan termasuk pengangkutan seperti pengangkutan bas moden disediakan untuk kemudahan rakyat,’’ katanya.

Sham yang juga Adun Alor Pongsu turut mengakui pada era pentadbiran Dr Zambry ketika ini, banyak kemudahan infra termasuk pembangunan pekan-pekan kecil untuk mengimbangi pembangunan social ekonomi rakyat di bandar telah terlaksana.

``Di Kerian sebagai contohnyha  isu masalah banjir yang sekian lama  menghimpit dan menghantui penduduk sudahpun selesai dengan terbinanya tebatan banjir hasil usaha keras Dr Zambry sebagai seorang pemimpin yang sentiasa prihatin terhadap permasalahan rakyat di Kerian ini,’’ katanya.

Datuk Sham  berpandangan masih banyak lagi tugas yang belum selesai dan perlu digalas oleh Dr Zambry untuk membawa hala tuju negeri Perak kearah pembangunan dan kecemerlangan.-13/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 370  tetamu dalam talian