17November2018

Guan Eng merendahkan martabat Bahasa Melayu

Saya amat terkesan, malah terkilan dengan tindakan yang dilakukan oleh Menteri Kewangan Malaysia, YB Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan rasmi kementerian di dalam Bahasa Mandarin dan bukannya dalam bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu.

Tindakan tersebut sangat biadap, menghina dan merendah-rendahkan kedudukan bahasa Melayu yang menjadi perkara asas bukan sahaja dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi dalam setiap amalan dan urusan Kerajaan Malaysia.

Ini kerana, kenyataan yang ditulis dan dikeluarkan dalam Bahasa Mandarin tersebut merupakan kenyataan rasmi yang melibatkan urusan pentadbiran negara dan kepentingan awam dan bukannya sesuatu yang bersifat peribadi dan tidak rasmi.

Sebagai negara yang mengangkat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, tindakan sedemikian dengan jelas tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan amalan pentadbiran negara ini.

Malah, secara tidak langsung, tindakan yang mengundang kemarahan dan rasa tidak senang oleh masyarakat umum tersebut, boleh dilihat sebagai sengaja mahu menunjukkan keangkuhan dan sikap semberono beliau dalam menjalankan tugas rasmi Kerajaan.

Lebih teruk, beliau sendiri yang sebelum ini, semasa dipertikaikan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan, dengan lantang mengatakan bahawa 'I am not Chinese, I am Malaysian'. Jika tindakan tersebut bukan sekadar satu gimik politik yang penuh kepura-puraan, sebaliknya bertujuan menunjukkan semangat kebangsaan dan nilai beliau sebarang seorang warga negara Malaysia, mengapa ia tidak diterjemahkan dengan konsisten dan bersungguh-sungguh.

Namun, hari ini, selepas memegang jawatan dan menjalankan tugas-tugas rasmi Kerajaan, beliau dengan mudahnya melupakan pendirian dan dakwaan tersebut.

Apabila Pegawai Tinggi Kerajaan, yang bertindak atas kapasiti Kerajaan dan menjalankan tugas-tugas Kerajaan, dengan sedar dan sengaja memilih untuk tidak mematuhi dan menghormati amalan dan Dasar Bahasa Kebangsaan, ia sudah pastilah satu tindakan yang tidak boleh diterima.

Malah, di negara-negara yang mempunyai pelbagai bangsa seperti Amerika Syarikat sekalipun, kenyataan rasmi pegawai tinggi Kerajaan akan dikeluarkan dalam bahasa rasmi negara tersebut.

Dan sekalipun ingin beralih dari bahasa rasmi, sepatutnya YB Lim Guang Eng mengeluarkan kenyataan tersebut dalam semua bahasa-bahasa utama. Menggugurkan bahasa Melayu bukanlah satu pilihan sama sekali.

Jika tidak fasih, tidak mahir dan tidak pasti akan sesuatu istilah dan penggunaan bahasa Melayu, YB Lim Guan Eng boleh sahaja mendapatkan khidmat pelbagai agensi Kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Melainkan, pada beliau, bahasa Melayu dan semua agensi ini sudah tidak penting dan tidak layak dirujuk.

Tidak keterlaluan untuk kita menyimpulkan perkara ini sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan kepada bahasa Melayu. Kerana, belum sampai 100 hari pun kita bertukar kerajaan, bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan sudah ditunjukkan sebagai tidak bernilai dan boleh diabaikan oleh pegawai tinggi Kerajaan.

Barangkali pada YB Lim Guan Eng, atas nama Malaysia Baharu, perkara yang menjadi warisan, amalan, kebanggaan dan struktur asas negara ini, layak sahaja dibuang dan diketepikan agar selari dan memenuhi cita-cita kerajaan baharu.

Memandangkan sekarang ini kita berada dalam Malaysia Baharu, mungkin bukan sahaja amalan kerajaan yang mesti baharu, tetapi kita juga memerlukan satu bahasa baharu bagi menggantikan bahasa Melayu.

Kerajaan seharusnya lebih peka, sensitif dan berhati-hati dalam perkara ini. Jangan sampai Kerajaan hari ini dilihat oleh rakyat sebagai 'kaduk naik junjung'. Baru sahaja mendapat kuasa, tindakan dan amalannya sudah jauh melampau dan melebih-lebih sehingga tidak menghormati perkara-perkara asas.

Saya gesa YB Lim Guan Eng untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dan segera kepada seluruh warga negara Malaysia yang menjunjung dan menghormati kedudukan bahasa rasmi negara. Dan, sebagai peringatan, kenyataan memohon maaf tersebut, mestilah dalam bahasa Melayu.-25/6/2018

Penulis merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1051  tetamu dalam talian