14Disember2018

Dewan Muda Johor pemangkin legasi masa depan

Semalam (18 November 2018) merupakan hari terakhir persidangan kali pertama Dewan Muda Johor (DMJ) di Grand Paragon Hotel, Johor Bahru. Selama dua hari persidangan ini dihadiri seramai 50 orang Ahli Dewan Muda Johor yang terdiri daripada anak-anak muda yang berusia 18 tahun sehingga 30 tahun. DMJ adalah platform terbaik yang dianjurkan oleh Angkatan Demokrasi Milenials Bersekutu (MUDA), sebuah NGO bebas dan aktif.

Setiap Ahli Dewan Muda Johor yang terpilih akan dibahagikan kepada beberapa Jawatankuasa yang membayangi struktur portfolio Jawatankuasa Kerajaan Negeri & Kementerian di Kerajaan Persekutuan. Antara Jawatankuasa yang diperkenalkan adalah Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Kesihatan, Prasarana dan Alam Sekitar, Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi & Kerjaya dan lain-lain.

Sepanjang dua hari persidangan ini, saya berkesempatan untuk hadir dan melihat sendiri Ahli-ahli Dewan Muda Johor bersidang. Apa yang boleh saya katakan kewujudan Dewan Muda Johor ini merupakan satu usaha yang baik. Ini kerana MUDA dapat menyediakan satu pentas dan peluang untuk anak-anak muda menonjolkan bakat-bakat yang sedia ada dari pelbagai latar belakang yang berbeza-beza.

Yang menarik perhatian saya, kesemua Ahli Dewan Muda Johor mempunyai kualiti perbahasan yang mantap dan baik dengan kombinasi idea-idea yang bernas dan berasas. Malah usul-usul yang dibahaskan juga dapat dibidas dengan bijak dan teratur oleh Ahli-ahli Dewan Muda Johor.

Antara usul-usul yang dibahaskan sepanjang dua hari ini adalah Dewan Muda Johor menggesa Kerajaan Malaysia untuk tidak meraktifikasi Konvesyen Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), menggesa kerajaan untuk mempertingkatkan usaha-usaha mengatasi lambakan pengganguran dalam kalangan graduan dan belia dan banyak lagi.

Jadi, saya juga dapat melihat fungsi Dewan Muda Johor ini membolehkan suara-suara anak muda diketengahkan dan di ambil perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan. Selain itu, ia memberi pendedahan kepada anak-anak muda dalam mendalami bagaimana proses undang-undang digubal serta memahami sistem pentadbiran.

Dalam masa yang sama juga, platform ini dapat memupuk dan menzahirkan minat anak-anak muda dalam bidang politik serta mampu melahirkan pemimpin politik muda yang baharu demi menyambung legasi pada masa hadapan. Sementara itu, Dewan Muda Johor ini juga dilihat mampu menjadi medium terbaik untuk menyalurkan kritikan yang membina terhadap pentadbiran negara.

Malah saya rasakan sebelum ini anak-anak muda mungkin tidak mempunyai saluran yang betul dan terbatas untuk mengutarakan pandangan-pandangan mereka terhadap pentadbiran kerajaan Negeri dan Pusat. Jadi Dewan Muda Johor ini dilihat mampu menjadi batu loncatan kepada anak-anak muda untuk mengetengahkan input-input yang segar dan  mengenal pasti kehendak anak-anak muda demi keseimbangan dan keharmonian negara.

Ia sekali gus merupakan landasan yang terbaik untuk membangunkan potensi anak-anak muda dan dapat menggarap kemahiran kepimpinan yang bakal membentuk negeri atau negara pada satu hari nanti. Tuntasnya, kewujudan Dewan Muda Johor sangat relevan pada hari ini dalam melahirkan generasi pelapis yang benar-benar menjadi harapan kepada negeri Johor dan Malaysia.-19/11/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 714  tetamu dalam talian