17November2018

Demo besar-besaran jika Maszlee tak letak jawatan segera...

Satu demonstrasi mahasiswa secara besar-besaran akan dibuat jika Menteri Pendidikan Maszlee Malik tidak meletakkan jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta merta.

Presiden Gabungan Mahsiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, tindakan Maszlee menerima lantikan tersebut dianggap pelik serta bertentangan dengan perjuangan serta janji Pakatan Harapan (PH) ketika PRU14.

Menurutnya, Maszlee seolah-olah gelap mata serta melupakan prinsip perjuangan untuk mengangkat autonomi universiti awam daripada sebarang pengaruh politik seperti yang dilaungkannya sebelum terlibat dalam dunia politik tanah air negara.

Katanya, jelas keghairahan Maszlee memegang jawatan tersebut menimbulkan kemarahan banyak pihak termasuk mahasiswa yang kecewa dengan janji-janji PH yang semakin hari semakin banyak dimungkiri.

"Gamis berharap Maszlee dapat bermuhasabah dan memikirkan semula soal perjuangan untuk menyerahkan kembali universiti awam kepada ahli akademik secara sepenuhnya dan meletakkan jawatan serta merta bagi menghormati perjuangan dan janji yang ditaburkan sewaktu PRU14.

"Kita beri masa seminggu bermula esok kepada beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM dan jika masih berdegil, satu bantahan secara besar-besaran akan dilakukan di UIAM oleh mahasiswa Malaysia," katanya memberitahu ia merupakan janji serta amaran yang akan dibuat Gamis.

Muhammad Faizzuddin berkata, Gamis juga ingin mengingatkan Menteri Pendidikan agar fokus melakukan kerja-kerja memberdaya prestasi pendidikan negara bermula daripada pendidikan rendah sehinggalah pendidikan tinggi di pejabat kementerian Pendidikan di Putrajaya.

"Sesungguhnya anda dilantik bukan untuk memegang sebanyak mungkin  jawatan yang ada dalam negara serta mengaut keuntungan ke atas segala elaun yang ditawarkan, tetapi anda dilantik adalah untuk memberikan khidmat dan bekerja untuk rakyat," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Maszlee sah dilantik sebagai Presiden UIAM yang ketujuh selama tiga tahun selepas diberi perkenan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah pada Rabu lalu.

Beliau disifatkan sebagai calon ideal untuk jawatan tersebut kerana merupakan seorang bekas pensyarah UIAM, selain pernah mengetuai Persatuan Staf Akademik UIAM dalam memperjuangkan hak-hak dan menjamin kebajikan para pensyarah.

Bagaimanapun, pelantikan tersebut mendapat reaksi daripada pelbagai pihak yang terkejut dan merasakan Maszlee tidak sepatutnya menerima jawatan tersebut kerana ia  menjejaskan integritinya sebagai menteri pendidikan serta imej kerajaan PH secara keseluruhannya.-7/9/2018 *gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 630  tetamu dalam talian