18Februari2018

Dekad baharu Johor pacu sosioekonomi

Johor berada di landasan yang membolehkannya melonjak lebih jauh dalam segenap dimensi pembangunannya. Dalam tempoh lima tahun lalu, pertumbuhan dan kedudukan ekonomi serta kemajuan Johor mendepani yang lain.

Perkara ini menjadi landasan kukuh untuk Johor agar dapat dibangunkan dengan lebih rancak, sekali gus memimpin Malaysia dengan lebih maju.

Kemampuan Johor ialah mempunyai segala ramuan asas untuk menjadi negeri dan masyarakat maju. Antaranya, kedudukan strategik, kegiatan ekonomi mencapah, bangsanya mempunyai kemahiran yang pelbagai, iklim politik stabil dan naungan dirajanya berjiwa rakyat.

Lanjutan itu, kerajaan negeri tekad menanam azam untuk melahirkan satu era baharu untuk Johor dalam tempoh sedekad dari sekarang. Era yang akan menyaksikan Johor tidak lagi dibangunkan secara biasa-biasa. Sebaliknya, era yang akan menyaksikan perubahan drastik dalam struktur ekonomi, pola pembangunan, kualiti hidup masyarakat dan kesejahteraan lingkungannya.

Amat rugi jika segala kepesatan lima tahun lalu, tidak dimanfaatkan untuk membangunkan Johor dengan lebih luar biasa.

Secara umumnya, satu dasawarsa akan datang ialah tempoh melahirkan kesejahteraan yang sebenar. Ia bagi memastikan rakyat boleh hidup dalam limpahan kebaikan dan kemakmuran yang seluas-luasnya.

Justeru, kerajaan Johor memperkenalkan Dekad Baharu Johor yang akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun, dengan menyaksikan pelbagai perencanaan pembangunan Johor.

Dalam sedekad dari sekarang, prasarana Johor akan dibangunkan pada skala besar-besaran. Tiada negara yang maju tanpa prasarana terbaik dan menyeluruh. Prasarana termaju prasyarat paling utama untuk membuahkan kesejahteraan rakyat.

Pelbagai projek pembangunan prasarana seperti Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-JB-Singapura akan siap beroperasi. Begitu juga dengan Projek Rel Berkembar Gemas-Johor Bahru dan Rapid Mass Transit Johor Bahru-Singapura.

Kerja melebar dan menyiapkan ratusan kilometer lebuh raya dan jalan raya akan dilaksanakan. Jalan yang menghubungkan bandar dan desa Johor akan diperkemas dan dimantapkan agar semua tempat di Johor terhubung dengan baik dan selamat.

Dekad Baharu Johor juga akan menyasarkan perubahan drastik struktur ekonomi Johor dengan berpaksi dan berorientasikan ekonomi masa depan. Ia akan dipacu oleh sains dan teknologi dan akan diperhebat dengan idea besar, kreativiti, teknologi dan inovasi.

Kerajaan negeri juga akan membangunkan Johor sebagai Hab Data Global dan Iskandar Malaysia yang akan dipacu pertumbuhannya oleh The New Millineal Economy.

Sektor ekonomi tradisional pula akan diberikan pesona baharu melalui inovasi, penggunaan teknologi termaju dan kecerdikan buatan.

Dalam pada itu, pelbagai transformasi pembangunan dan kemajuan direncana akan digerakkan selari dengan tatakelola kerajaan dan 'governan' yang sesuai dengan keperluan dekad mendatang.

Sistem tatakelola waktu ini, sudah lapuk dan ketinggalan. Cara kerajaan mengurus sistem dan beroperasi harus melalui transformasi yang sewajarnya, agar menjadi kerajaan moden, berprestasi, fokus kepada pencapaian, telus, beramanah dan diyakini.

Semua sistem kerajaan mesti beralih kepada ekosistem digital. Untuk itu, Johor akan dibangunkan sebagai negeri pintar. Ia akan dilakukan mulai sekarang secara agresif dan dalam masa 10 tahun akan datang, Johor mempunyai kerajaan digital sepenuhnya.

Semua komunikasi kerajaan juga akan sepenuhnya dipacu oleh media sosial dan teknologi komunikasi termaju. Tiada lagi alasan maklumat tersasar, tidak sampai dan kecelaruan dalam hebahan dasar serta keputusan kerajaan.

Selepas ini, kerajaan negeri juga akan beroperasi dengan mengoptimumkan penggunaan big data dan akan memberikan fokus kepada risikan media sosial.

Langkah ini bagi membolehkan kerajaan negeri mengetahui secara teliti dan saintifik, mengenai perkara yang menjadi perhatian masyarakat. Sekali gus, berpeluang untuk mencari formula penyelesaian terbaik kepada masalah mereka.

Menerusi Dekad Baharu Johor juga, kerajaan negeri akan menggandakan usaha untuk memastikan setiap putera-puteri bangsa Johor dibangunkan pemikiran, bakat dan kemahiran secara bersepadu.

Aset terpenting Orang Muda Johor (OMJ) ialah pendidikan dan kemahirannya. Tanpa pendidikan, tanpa kemahiran, OMJ akan menjadi generasi yang terkapai-kapai atau a lost generation. Dengan generasi sebegini, Johor tidak akan ke mana-mana. Malah, tidak mustahil mengundur ke belakang.

Justeru, Pelan Johor Mahir akan digerakkan secara lebih agresif, dengan memberi tumpuan kepada kemahiran masa depan atau the skills of the future. Untuk menjayakan cita-cita ini, lebih banyak biasiswa, bantuan pendidikan, pusat latihan kemahiran iaitu skilling, upskilling dan reskilling akan kita bangunkan.

Selain itu, kelestarian alam sekitar, pemeliharaan budaya dan agama juga antara fokus Dekad Baharu Johor.

Dalam konteks pembangunan, kemajuan nilai, ketinggian akal budi serta kelestarian alam ialah penanda aras yang ampuh kepada setiap projek pembangunan.

Oleh itu, Johor menyasarkan agar lebih banyak pokok ditanam, kawasan hutan dipulihara, sungai dibersihkan dan pantai dipulihkan.

Dekad Baharu Johor juga akan memastikan kesejahteraan dan keselamatan insan menjadi misi utama. Kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat mesti ditingkatkan.

Kerajaan negeri tidak mahu kemiskinan hanya sifar pada angka, tetapi hakikatnya ramai yang masih susah dan rentan.

Johor akan pastikan jurang pendapatan rakyat mengecil dan agihan kekayaan diurus dengan adil. Sistem sosial berfungsi dengan sebenar-benarnya berdasarkan keperluan, bukan warna kulit, bangsa dan agama.

Dalam 10 tahun dari sekarang, Johor akan menyaksikan institusi keluarganya semakin kukuh. Gejala sosial menurun, indeks jenayah menjunam dan jurang kualiti hidup bandar dan luar bandar akan menjadi yang terbaik di Malaysia.

Membangun Dekad Baharu Johor ini bukan mimpi yang sempurna, tetapi ia cita-cita negeri kecil yang mahu menjadi yang terbaik. Ia bukan cita-cita kerajaan negeri sahaja. Ia cita-cita semua rakyat.-7/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 661  tetamu dalam talian