16Oktober2018

Dari sejuta tawaran kerja kepada sejuta kehilangan kerja

Tulisan terakhir saya minggu lepas berkaitan kesan langsung kepada rakyat dan usahawan Bumiputera jika 4,000 projek-projek kecil untuk rakyat dibatalkan.

2. Akhir ini kita dikejutkan lagi dengan pengumuman kerajaan menghentikan Projek MRT 2 yang melibatkan 20 ribu pekerja di bawah MMC GAMUDA.

3. Ini bukannya kali pertama tindakan kerajaan yang menyebabkan rakyat kehilangan pekerjaan tetapi sebelum ini pembatalan Projek ECRL, Kuala Lumpur - Singapore Highspeed Rail dan lain-lain juga menyebabkan puluhan ribuan rakyat hilang pekerjaan.

4. Nampaknya manifesto Kerajaan PH untuk mewujudkan 1 juta pekerjaan sebenarnya telah bertukar menjadi pemberhentian 1 juta pekerja.

5. Dalam keadaan sukar masa kini, kehilangan pekerjaan dalam situasi kos sara hidup meningkat dan tidak lama lagi para ibu bapa akan menghadapi musim persekolahan baru untuk tahun 2019 dan sudah tentu sahaja ia bakal menambahkan penderitaan rakyat.

6. Alasan kerajaan akan melakukan  "Re-Tender" dan mereka mungkin akan diambil semula oleh syarikat baru tidak dapat diterima.

7. Kita tidak tahu bilakah proses tender semula itu akan selesai dengan pelantikan syarikat baru tersebut. Dalam  jangkamasa itu apakah 20,000 pekerja ini akan mempunyai pendapatan?? Apakah kerajaan akan membayar pampasan?

8. Jika berlaku pengambil-alihan  oleh syarikat baru sekali pun apakah jaminan kerajaan bahawa syarikat baru itu akan menyerap semula keseluruhan lebih 20,000 pekerja yang hilang pekerjaan ini?

9. Perlu diingatkan bahawa 60% daripada 20,000 pekerja tersebut terdiri dari pekerja Bumiputera. Malah antaranya terdiri daripada golongan professional rakyat Malaysia. Lebih malang lagi terdapat 600 syarikat yang menjadi pembekal, sub-kontraktor dan lain-lain yang terlibat dengan projek tersebut bakal berdepan situasi sama dengan memberhentikan pekerja-pekerja mereka dan syarikat mungkin akan gulung tikar.

10. Kerajaan tidak seharusnya berpendirian dangkal oleh kerana MMC GAMUDA dilantik oleh Kerajaan BN terdahulu maka kontrak mereka  perlu dibatalkan. Perlu diingatkan bahawa MMC GAMUDA telah dilantik melalui tender terbuka antarabangsa yang terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat dari negara China, Korea dan Jepun.

11. Untuk makluman , pemegang-pemegang saham dalam Syarikat MMC GAMUDA terdiri dari Lembaga Tabung Haji (TH), Amanahraya Trustees Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad(PNB) dan lain-lain yang semuanya merupakan institusi-Institusi yang akan memberikan pulangan keuntungan kepada rakyat melalui peratus keuntungan daripada Projek MRT 2 ini.

12. Difahamkan Projek MRT 2 ini telah siap 40% pembinaannya. Oleh itu keputusan kerajaan memberhentikan projek ini juga mengundang tindakan saman untuk ganti rugi serta pampasan lain akibat penamatan kontrak tersebut. Tindakan mahkamah mungkin akan mengganggu proses perlantikan syarikat baru untuk menyambung projek tersebut.

13. Jika ini berlaku maka kerajaan akan lebih menanggung kerugian. Kelewatan pelantikan syarikat baru tentu akan melewatkan 20,000 pekerja yang hilang pekerjaan untuk mendapatkan semula pekerjaan mereka.

14. Yang pasti 20,000 pekerja ini akan terus menderita dengan tindakan Kerajaan PH yang tidak mengambil kira hak dan kebajikan rakyat.-11/10/2018

Penulis merupakan Naib Presiden UMNO

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 435  tetamu dalam talian