26Julai2017

Beri peluang Azwan Bro bertanding PRU 14 di Perak...

Belum pasti sama ada UMNO bahagian Pasir  Salak akan mencalonkan Senator Khairul Azwan Harun atau juga dikenali dengan panggilan Azwan Bro bertanding dalam Pilihan raya umum ke -14 (PRU).

Ini kerana dari segi kedudukkan perjawatan, Azwan yang kini merupakan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tidak memegang  sebarang jawatan signifikan dalam bahagian berkenaan.

Untuk rekod, beliau anak jati dan ahli UMNO berdaftar di kawasan Parlimen Pasir Salak. Serta merupakan mantan Ketua Pemuda bahagian berkenaan tetapi dalam pemilihan beberapa tahun lalu  tewas bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Untuk rekod ahli parlimen dan Ketua UMNO bahagian Pasir Salak ialah Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang kini Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani.

Walau pendakian politiknya agak mencabar Azwan yang dipersiap sebagai pengganti Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysa, dilihat tidak sendirian. 

Terdapat suara sama mahu tokoh muda ini diberi peluang menjadi calon wakil rakyat.

Sekira peluang  di Pasir Salak  tersekat banyak lagi kawasan di Perak boleh difikirkan. Lagipun menjadi amalan pucuk pimpinan menempatkan calon-calon paying terjun dalam pilihanraya.

 Ini dapat dibuktikan lmelalui pencalonan Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Larut, begitu juga  Tan Lian Hoe, dalam PRU ke 10 di parlimen Gerik.

Waktu itu, Menteri Besar Perak ialah Tan Sri Tajol Rosli.

Dalam perkembangan terbaru, UMNO Bahagian Ipoh Barat merupakan UMNO Bahagian pertama di negeri Perak mencadangkan supaya Senator  Khairul Azwan diletakkan sebagai calon BN di mana-mana kerusi sama ada kerusi DUN ataupun parlimen di Perak pada PRU ke-14 ini.

Cadangan itu dikemukakan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar dalam ucapannya di mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO dan Pemuda bahagian itu di Bangunan UMNO Negeri Perak, Ipoh malam tadi (Jumaat)—sekaligus mendapat tepukan bergemuruh.

Beliau mencadangkan dan meminta sokongan daripada rakyat Perak khususnya supaya  Senator Azwan diletakkan sebagai calon BN sama ada untuk kerusi DUN ataupun Parlimen pada PRU ke-14 ini.

``Saya mencadangkan  Azwan Bro diletakkan sebagai calon tidak kiralah sama ada diperingkat DUN mahupun parlimen pada pilihan raya umum ke 14 ini nanti dan seterusnya menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang bakal mencipta sejarah sekali lagi dimana Datuk Seri Ahmad Zahid pernah mengepalai Ketua Pemuda UMNO Malaysia sebelum ini,’’ katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putera Ahmad Shibi yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ketika mengulas lanjut menyifatkan cadangan itu sebagai tepat pada masanya ketika parti UMNO disaat ini sangat memerlukan khidmat bakti calon  baru dan muda untuk meneruskan agenda perjuangan parti untuk membela nasib masa depan rakyat khususnya orang Melayu.

``Saya dapati sebenarnya dah lama kita lihat bila pakatan pembangkang menyenaraikan calon-calon boleh dikatakan lebih 70 peratus dikalangan mereka adalah orang muda… contohnya ada yang baru balik dari Amerika Syarikat terus terjun dan bertanding .”

``Saya tak pasti pemuda pembangkang diberi kepercayaan untuk bertanding mengapa kita diperingkat BN hanya tidak sampai . . .  boleh dibilang dengan jari . . . contohYB Khairy Jamaluddin, Rizal Marican dan YB Razali Ibrahim yang saya ingat tak lebih daripada 30 peratus.

``Jadi kita minta mereka pemimpin `dinosaur purba’ yang ada diperingkat pembangkang seperti Tun Mahathir ini yang dah  dah rehat tiba-tiba muncul balik membawa agenda peribadi bukan untuk rakyat. . . kita minta dia berhenti. . . . kita minta Lim Kit Siang berhenti begitu juga Anwar berhenti  . . . mereka ini dikira sebagai pemimpin yang sudah purba, pemimpin dinosaur kita gelarkan,’’ katanya.

Dalam konteks ini, Syamsul berpendapat  sudah tiba masanya pemimpin muda seperti Senator Azwan Bro ini dan juga barisan kepimpinan muda diberi peluang oleh pucuk pimpinan parti untuk mewarisi perjuangan (parti).

``Bagi saya Senator Khairul Azwan merupakan seorang pemimpin muda yang cukup lantang dan layak untuk meletakkan beliau sebagai calon tidak kira di mana juga kerusi sebagai ahli Parlimen ataupun ahli Dewan Undangan Negeri. . . . tetapi yang penting beliau mendapat tempat’’ katanya.

Ditanya  adanya wakil-wakil rakyat BN yang berhasrat mengundur diri daripada bertanding pada PRU ke-14 nanti untuk member laluan kepada muka-muka baharu, katanya, beliau menyanjungi pendirian wakil-wakil rakyat sebegini.

``Sebenarnya pada kami orang muda.. . . kita melihat pemimpin yang begitu adalah seorang  pemimpin yang berjiwa besar kerana bukan mereka tak boleh memimpin dan menjadi wakil rakyat lagi tetapi mereka ingin melihat anak muda untuk mewarisi perjuangan seterusnya.

``Saya juga percaya  ada dalam kalangan mereka  walaupun tidak umum letak jawatan tapi mereka juga akan beri sokongan seratus peratus kepada  pada calon baharu.’’ujarnya.

Mengenai struktur kepimpinan baharu pakatan harapan yang diumumkan pengerusinya Tun Mahathir kelmarin, Syamsul menyifatkannya sebagai mainan `wayang’ pihak pembangkang untuk mengabui mata rakyat.

``Saya menganggap betapa hodohnya pakatan harapan yang kononnya telah mencapai satu persetujuan yang mana tiba-tiba mereka bersetuju untuk melantik  Tun Mahathir sebagai pengerusi untuk pakatan harapan yang mana kita tahu apa bidang yang ada pada pengerusi itu sedangkan  masih ada ketua umum di dalam penjara.

``Kemudian mereka adakan pula  presiden parti keadilan jadi antara ketiga tiga itu siapa kah yang betul betul menjadi nahkoda untuk kapal yang bergelar pakatan harapan?

``Pada saya mereka tidak layak untuk bergelar pakatan harapan  dan saya rasa mereka ini tidak ada hala tuju dan apabila menjelang PRU ke 14 nanti siapakah kabinet bayangan mereka  apatah lagi Perdana Menteri bayangan mereka.

``Saya rasa mereka ini tidak relevan ibarat tiga nahkoda satu kapal dan sebenarnya  bagi saya walaupun mreka sudah ada tiga nahkoda tetapi pemimpin defakto mereka tetap Lim Kit Siang dan juga yang akan mengepalai mereka.’’ Katanya.

Menurut Syamsul lagi, mereka ini dalam pakatan harapan hanya pandai menabur harapan dan janji yang mana mereka akhirnya tidak dapat menjuarai isu-isu rakyat.-17/7/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 578  tetamu dalam talian