19November2017

Anwar beri keterangan kes kerugian forex Bank Negara

Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dipanggil untuk memberi keterangan kepada Pasu­kan Petugas Khas Siasatan Kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam aktiviti spekulasi mata wang asing pada tahun 1990-an.

Penasihat PKR itu itu tiba di Kementerian Kewangan Putrajaya pukul 2.30 petang untuk memberi keterangan kepada pasukan berkenaan sebelum beredar pada pukul 4.45 petang.

Kawalan keselamatan diperketatkan dengan lima kenderaan daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara mengiringi kehadiran Anwar yang masih menjalani hukuman penjara kerana kesalahan liwat.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah Anwar serta peguam, R. Sivarasa dan ahli keluarga Anwar turut kelihatan di pekarangan Kementerian Kewangan namun mereka juga tidak dibenarkan bertemu Anwar.

Dalam pada itu, bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz kelihatan berada di pekarangan Kementerian Kewangan namun pihak media gagal mendapat penjelasan mengenai tujuan kehadirannya.

Pengerusi pasukan petugas khas berkenaan, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, Anwar bukan individu pertama yang dipanggil pihaknya bagi membantu siasatan kerugian BNM berkenaan.

“Ada yang lain sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi pendengaran keterangan Anwar itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai individu-individu lain akan dipanggil bagi memberi keterangan.

Pada 26 Januari lalu, bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan BNM mencatatkan kerugian sebanyak AS$10 bi­lion (RM44 bilion) melalui ke­giatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993, jauh lebih besar daripada jumlah Laporan Tahunan BNM pada 1994 yang hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion.

Abdul Murad antaranya turut menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bersama dua bekas Menteri Kewangan, Anwar dan Tun Daim Zainuddin perlu disoal siasat bagi merungkai kerugian tersebut.

Gesaan juga dibuat pelbagai pihak agar Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberikan keterangan berikutan pernah membawa usul berkaitan isu itu di Dewan Rakyat pada tahun 1993 dan 1994.

Pada 15 Februari lalu, Kabinet bersetuju untuk penubuhan sebuah pasukan petugas khas bagi menjalankan siasatan kerugian BNM berke­naan.

Mohd. Sidek sebelum ini memaklumkan terma rujukan pasukan petugas khas itu termasuk merangkumi sejauh mana terdapat tindakan menyembunyikan maklumat kerugian tersebut serta mengkaji kalau ada perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya di Parlimen.

Pasukan itu bertanggungjawab meneliti pematuhan undang-undang, peraturan serta garis panduan berkaitan peranan Bank Negara dalam urus niaga mata wang asing serta sama ada terdapat apa-apa tindakan menutup skala sebenar kerugian BNM dan individu-individu terlibat.

Selain Mohd. Sidek, pasukan berkenaan terdiri daripada enam ahli termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengerusi Suruhanjaya Se­kuriti, Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

Turut menganggotainya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Saw Choo Boon; Rakan Kongsi Guaman Jahaberdeen & Co, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail selaku setiausaha dan ketua sekretariat pasukan petugas khas berkenaan.-21/4/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 517  tetamu dalam talian