21Mei2018

Ahli UMNO jangan mati semangat

Semangat lebih 3 juta ahli UMNO di seluruh negara pasti tersentak selepas parti tunjang Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 (PRU14) pada tarikh keramat 9 Mei yang lalu. Rakyat Malaysia yang beragama Islam akan mula menunaikan ibadah puasa esok apabila bulan Ramadan menjelang tiba.

Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media baru-baru ini mahu semua pemimpin UMNO di peringkat akar umbi menerima hakikat bahawa parti UMNO dan BN kini sudah menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan.

Ada bangunan UMNO yang menjadi milik kerajaan negeri kini sudah tidak boleh digunakan lagi untuk bermesyuarat dan menurut beliau para pemimpin UMNO perlu menerima dengan baik dan terus berusaha menguruskan parti dalam keadaan sekarang. Bagi ahli di peringkat akar umbi, kami turut berasa sedih dengan apa yang berlaku.

Lebih-lebih lagi, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpaksa meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO Dan Pengerusi BN baru-baru ini. Kita sudah pastinya mendoakan semua perkara akan dipermudahkan dan parti akan kembali pulih seperti sedia kala.

Bagi ahli, mereka jangan sesekali mati semangat untuk terus berjuang dan bangkit semula memperkuatkan UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu di negara ini. Parti untuk orang Melayu yang masih kukuh dan kuat ialah UMNO. Selepas PRU14, kerusi UMNO adalah kerusi yang paling banyak dimenangi dalam Dewan Rakyat iaitu sebanyak 54 kerusi.

Dari segi peratusan undi yang diperolehi, UMNO melalui BN mendapat 2.555 juta undi dengan peratusan tertinggi iaitu 21.5 peratus dengan 54 kerusi. DAP ditempat kedua engan 2.103 juta undi iaitu 17.41 peratus dengan jumlah 42 kerusi. Parti PKR merupakan parti paling tinggi kerusi dalam Pakatan Harapan (PH) dengan 2.041 juta undi kira-kira 16.89 peratus, dengan 49 kerusi.

Parti-parti lain ialah PAS mendapat 2.018 juta undi dengan 16.70 peratus (18 kerusi), PPBM mendapat 0.741 juta undi dengan 6.14 peratus (13 kerusi) dan Amanah mendapat 0.655 juta undi dengan 5.42 peratus (10 kerusi), MCA mendapat 0.623 juta undi dengan 5.16 peratus (1 keusi) dan Warisan mendapat 0.28 juta undi dengan 2.32 peratus (8 kerusi).

Di dalam Parlimen, UMNO masih parti terkuat sementara parti komponen BN terus teruk dalam PRU kali ini.

Oleh itu, penggerak dan ahli UMNO perlu bersama-sama dengan pemimpin yang telah diberikan mandat oleh Majlis Tertinggi UMNO iaitu Ahmad Zahid membantu UMNO kembali bangkit serta kembali menjadi kerajaan di bawah BN pada pilihan raya umum akan datang.

Dengan kecelaruan kerajaan PH pimpinan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, UMNO perlu terus bersatu dan kukuh dari segi hubungan antara ahli dan saf kepimpinan berdepan PH pada pilihan raya kelak.

Banyak parti politik terkenal di seluruh dunia yang pernah kalah dan kemudian bangkit kembali memenangi hati rakyat yang boleh kita contohi dari segi ketabahan perjuangan supaya semangat berkenaan membantu kita untuk kembali bangkit.-16/5/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 971  tetamu dalam talian