15November2018

Agenda UMNO lebih besar

Skandal IMDB terus menjadi isu yang dominan di persada politik Malaysia.

Pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, kenyataan terkini Tan Sri Abu Kassim, mantan Pesuruhjaya SPRM dan kenyataan Tan Sri Ambrin Buang, mantan Ketua Audit Negara jelas membuktikan bahawa skandal ini belum menampakkan sebarang tanda akan reda atau berkesudahan.

Malah, ia dijangka berlarutan dan akan terus memakan masa yang lama.

Pihak DepartmentofJustice Amerika Syarikat (DOJ) juga telah memulakan tindakan pendakwaan terhadap beberapa suspek dan pemain penting 1MDB.

Justeru, sangat penting untuk semua pihak mengambil maklum bahawa pasti akan ada usaha berulang-ulang untuk mengheret UMNO ke dalam kancah skandal ini secara konsisten, sama ada secara langsung atau pun tidak.

Saya menyeru kepada semua pihak agar bersikap matang, terbuka dan berlaku adil terhadap UMNO. UMNO sebagai sebuah parti tidak bersalah dan sama sekali tidak terlibat dengan sebarang operasi dan transaksi 1MDB.

Adalah tidak adil, wajar dan munasabah  untuk mana-mana pihak terus menerus menyalah dan melibatkan UMNO dengan perkara yang tidak diketahui dan tidak berpunca atau dilakukan olehnya.

UMNO dan saya secara peribadi sudah pasti bersimpati dengan mantan Presiden UMNO yang perlu berhadapan dengan semua ini. Seperti mana-mana kes yang sedemikian, ia mesti diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengurus dan mengadilinya, secara sah, teratur dan berperlembagaan.Saya  mendoakan yang terbaik untuk beliau. Semoga kebenaran dan keadilan diangkat.

Namun, yang lebih penting, semua pihak mesti menghargai bahawa UMNO mempunyai agenda yang lebih besar dan mustahak untuk bangsa, agama  dan tanahair.

UMNO mesti memastikan kelangsungan tanggungjawab besar ini tanpa tersasar dari mandat, fokus serta tugasnya dalam memperkaya dan memperkasa kebolehsaingan bangsa Melayu dan Malaysia amnya.

Selagi UMNO dikaitkan secara tidak berpatutan dengan skandal 1MDB, selagi itulah usaha merawat, memulih dan membangunkan UMNO akan terencat dan disalah erti. Sekali gus tugas besar UMNO akan terbantut dan tidak dapat dilunaskan dengan baik.

Saya menyeru kepada semua yang mempercayai dan meyakini tugas besar UMNO kepada bangsa harus diteruskan dengan lebih giat, marilah kita memberikan seluruh tumpuan, kudrat, usaha dan pemikiran untuk menjayakan amal bakti UMNO yang kita kasihi ini.

Kepada bangsa Melayu, UMNO tidak meminta banyak. Hanya bertindaklah secara rasional dan adil terhadap UMNO. Berilah ruang untuk gerakan amal bakti ini meneruskan perjalanan dan sumbangannya kepada bangsa, agama dan tanahair.

Sesungguhnya UMNO selama ini telah meletakkan kedudukan orang Melayu dan Malaysia secara adil di tahap yang jauh lebih baik dari sebelumnya. Menghukum UMNO secara berterusan, atas isu yang bukan berpunca darinya, mahupun menjadi kesalahannya, adalah tidak adil dan sama sekali TIDAK AKAN MENGUNTUNGKAN BANGSA MELAYU.-5/11/2018

Penulis merupakan TIMBALAN PRESIDEN UMNO.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 465  tetamu dalam talian