Umum Akta Hasutan kekal... Najib dapat standing ovation

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman mengejut dan penting dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO selepas memberitahu Akta Hasutan akan DIKEKALKAN.

Pengumuman tersebut menyebabkan perwakilan dan hadiran yang memenuhi Dewan Merdeka dan PWTC berdiri memberikan tepukan paling bergemuruh (standing ovation).

Menurut Najib, Akta Hasutan bukan sahaja dikekalkan bahkan terus diperkukuhkan.

"Sekurang-kurangnya dua penambahbbaikkan dalam Akta Hasutan termasuk peruntukan melindungi kesucian agama Islam dan agama lain juga tindakan terhadap sesiapa cuba hasut Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia," kata Najib.

Jelas Perdana Menteri, keputusan untuk mengekalkan kekal Akta Hasutan ini, dibuat setelah beliau dengar maklum balas dari timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, pimpinan UMNO, usul UMNO-UMNO bahagian, NGO-NGO dan lain-lain.

Sebelum ini dalam ucapan beliau ketika perutuhan Hari Malaysia 2012, Najib memberitahu ISA dihapuskan dan Akta Hasutan 1948 akan dikaji semula.

Bagaimanapun berbagai pihak mahu Akta Hasutan dikekalkan berikutan kedudukan Malaysia sebagai negara berbagai kaum yang boleh menyebabkan api kebencian dimulakan dengan mudah tanpa akta yang berkesan.

Najib menyampaikan ucapan dasarnya di hadapan 2,752 perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2014, di Dewan Merdeka, WTC pada Khamis.

Berbeza dengan masa lampau ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO oleh Najib kali ini ringkas dan padat hanya mengambil masa satu jam 10 minit saja diselang seli dengan petikan video klip.

Antara topik pengenalan yang disampaikan Najib dalam ucapannya itu ialah mengenai solidariti.

Beliau menyentuh mengenai insiden pencerobohan pengganas dari selatan Filipina pada Februari 2013, tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac lepas dan tragedi MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai lepas.

Beliau berkata, semua tragedi itu telah membawa rakyat di negara ini bersatu untuk menghadapinya dengan tabah dan beliau menyifatkan ia "Inilah lambang Solidariti."

"Rakyat Malaysia secara keseluruhan menunjukkan semangat muafakat yang cukup luar biasa. Khususnya pada hari berkabung. Kita ingin semangat persatuan ini diteruskan sampai bila-bila. Inilah lambang perpaduan yang dinamakan Solidariti," katanya yang menyebut perkataan 'solidariti' itu beberapa kali.

Mengenai nasib Melayu, Perdana Menteri beritahu beliau akan terus perjuangkan.

"Mana mungkin saya biar keturunan saya melarat terhina sehingga jadi bangsat di tanah air sendiri,".

Mengenai hajat Wanita UMNO yang mahu penambahan jawatan Naib Presiden serta Naib Ketua Bahagian khusus untuk sayap itu, kata Najib, ia akan diteliti dan dibincangkan.

Semalam, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengatakan perkara tersebut dalam ucapan dasarnya.-27/11/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.